Wednesday, August 15, 2012

Dibelasah Hingga Mati Hanya Kerana Sebuah Meja Usang

dibelasah hingga mati hanya kerana sebuah meja usang
Serdang – Hanya kerana mengambil sebuah meja yang telah buruk dan usang, seorang peniaga gerai minuman dibelasah hingga mati oleh sekumpulan lelaki di sebuah kawasan perniagaan di Seri Kembangan.
Dimaklumkan , peristwa yang mengerikan itu berlaku apabila mangsa kejadian, Azhari Sidek 44 tahun mengambil sebuah meja yang dalam keadaan buruk yang terbiar usang di kaki lima kawasan perniagaan tersebut dan diletakkan dekat dengan gerai milik beliau.
Tetapi perbuatan Azhari mengambil meja usang tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati seorang lelaki yang mengatakan meja usang tersebut adalah miliknya yang menyebabkan berlakunya perbalahan sekitar jam 2 pagi. Difahamkan lelaki berkenaan juga seorang peniagan yang berniaga di tempat tersebut.
Sewaktu ditemui oleh wartawan di perkarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, adik angkat mangsa pembunuhan tersebut yang tidak mahu dikenali berkata, atas sebab rasa tidak puas hati, lelaki berkenaan telah memanggil beberapa rakannya memukul dan membelasah abangnya sehingga menyebabkan kematian.
“Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.
 “Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.
Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Adik mangsa, Hamizi Sidek 40, memberitahu beliau mendapat panggilan telefon daripada hospital Serdang yang memberitahu bahawa abangnya telah meninggal dunia dan menghendakinya hadir ke hospital.
“Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.
“Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Bekas isteri mangsa berserta tiga orang anak lelakinya turut berada di bilik mayat hospital pada kira-kira jam 5 petang selepas pihak hospital memaklumkan kepada mereka tentang kematian mangsa
Anak-anak Allahyarham Azahari kelihatan sedih dan mengalirkan air mata apabila menatap wajah bapa mereka untuk kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah untuk pengkebumian.
Dimaklumkan, jenazah Allahyarham Azahari dibawa pulang ke kampung asalnya di Mengkarak berhampiran dengan bandar Temerloh, Pahang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung tersebut.
Dalam masa yang sama, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias sewaktu dihubungi mengesahkan laporaan tentang kejadian tersebut dan pihak polis akan membuat siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan dan pihak polis sedang mengambil langkah memburu kesemua yang terlibat dalam kes pembunuhan Allahyarham Azahari.

No comments:

Post a Comment